BUDI95: Pemandu E-Hailing Diberi Pengecualian Had 300 Liter RON95 Sebulan

Gambar BUDI95 EHailing Dikecualikan

PUTRAJAYA: 23 September 2025 – Kerajaan menetapkan siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter petrol RON95 bagi rakyat Malaysia melalui pelaksanaan inisiatif BUDI95, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ucapan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Menurutnya, jumlah itu ditetapkan berdasarkan purata penggunaan semasa yang kebanyakannya berada pada paras antara 150 hingga 250 liter sebulan. Oleh itu, penetapan 300 liter dilihat mencukupi untuk majoriti pengguna.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan pengecualian akan diberikan kepada pemandu e-hailing memandangkan mereka memerlukan penggunaan bahan api yang lebih tinggi untuk tujuan pekerjaan. Golongan ini boleh memohon had tambahan mengikut keperluan masing-masing.

Beliau menegaskan langkah itu bertujuan memastikan pemberian subsidi bahan api lebih bersasar, tanpa menjejaskan kelangsungan hidup golongan yang bergantung kepada pengangkutan sebagai sumber pendapatan.

Inisiatif BUDI95 merupakan sebahagian daripada agenda kerajaan untuk menyeimbangkan pengurusan subsidi sambil melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal