PUTATAN: 21 September 2025 – Kementerian Pertahanan menegaskan pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Blackhawk UH-60A dibuat kerana syarikat terbabit gagal memenuhi tanggungjawab penghantaran aset dalam tempoh ditetapkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun lanjutan masa diberikan, helikopter tersebut tetap tidak dibekalkan, sekali gus memberi alasan kukuh kepada kerajaan untuk membatalkan perjanjian.
Tindakan itu diambil selepas Aerotree Defence and Services Sdn Bhd sebelum ini menerima penganugerahan kontrak selama lima tahun, namun gagal menepati syarat pelaksanaan. Situasi ini berbeza dengan pembatalan kontrak selepas aset diterima, kerana dalam kes ini tiada penghantaran dilakukan.
Pada Jumaat lalu, Aerotree memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, termasuk menuntut perintah supaya kontrak diteruskan atau, sekiranya tidak, ganti rugi khas, tambahan dan pampasan berjumlah ratusan juta ringgit.
Sumber: Berita Harian
