Syarikat Pengangkutan Disaran Daftar Awal SKPS, Elak Tergendala Akses Subsidi

PENAMPANG: 21 September 2025 – Syarikat pengangkutan awam dan barangan diingatkan supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk mendaftar Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) susulan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pendaftaran awal akan memastikan syarikat terlibat dapat menikmati manfaat subsidi sejurus skim itu dilaksanakan. Beliau menekankan bahawa jumlah pendaftaran ketika ini masih rendah, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Daripada lebih 4,600 kenderaan yang layak di kedua-dua negeri, hanya 89 kenderaan di Sabah dan enam di Sarawak telah berdaftar. Secara keseluruhan, sebanyak 1,790 syarikat membabitkan 5,449 kenderaan di seluruh negara telah memohon, dengan hanya 249 kenderaan selesai melengkapkan pendaftaran.

Menurut Armizan, walaupun proses kelulusan SKPS boleh dilakukan segera jika dokumen lengkap, masa tambahan tetap diperlukan untuk menguruskan permohonan fleet card daripada syarikat minyak. Justeru, kelewatan mendaftar boleh menjejaskan akses kepada subsidi apabila skim mula dikuatkuasakan.

Beliau menjelaskan, berbeza dengan subsidi diesel yang hanya disasar di Semenanjung, penyasaran subsidi petrol akan dilaksanakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Katanya, langkah itu bukan sahaja mengurangkan kos operasi syarikat, tetapi juga melindungi rakyat daripada kesan turun naik harga petrol di pasaran.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal