PUTATAN: 18 September 2025 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan penduduk di Pantai Timur Sabah khususnya daerah Sandakan dan Lahad Datu supaya bersiap siaga menghadapi kemungkinan luruan angin dalam tempoh dua hingga tiga hari ini.
Amaran itu dikeluarkan selepas fenomena sama melanda kawasan Pantai Barat negeri sebelum ini.
Ahmad Zahid berkata, kesiapsiagaan amat penting kerana luruan angin dijangka kembali berlaku dalam tempoh terdekat dan beralih ke kawasan Sandakan serta Lahad Datu.
Beliau menegaskan, amaran itu bukan bertujuan menakut-nakutkan sebaliknya sebagai langkah persediaan sekiranya arahan berpindah dikeluarkan.
Beliau turut menasihatkan penduduk terlibat agar mematuhi arahan berpindah dengan membawa dokumen penting bersama.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Taman Sri Keramat di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyatakan rasa puas hati terhadap penyelarasan yang dibuat jawatankuasa pengurusan bencana di semua peringkat negeri dan daerah dalam membantu proses pemindahan mangsa terjejas ke PPS.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Sumber: Buletin tv3
