MA63: Sembilan Tuntutan Dimuktamad, Sabah dan Sarawak Peroleh Lebih Kuasa Autonomi

KUCHING: 13 September 2025 – Usaha mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menunjukkan kemajuan apabila sembilan tuntutan berjaya diselesaikan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2025 yang berlangsung pada 12 September 2025.

Hasil rundingan itu menyaksikan pelbagai aspek pentadbiran, perundangan, dan kawal selia diperkukuh, termasuk pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

Selain itu, pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 turut diluluskan bagi membolehkan wakil kerajaan negeri dilantik sebagai anggota tetap lembaga berkenaan.

Beberapa kuasa penting juga telah diserahkan, antaranya kawal selia bekalan gas dan elektrik di Sabah, pentadbiran badan kehakiman di kedua-dua negeri, penyediaan garis panduan khas bagi urusan penyerahan tanah rizab Persekutuan, serta pindaan perundangan tenaga buruh di bawah Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.

Turut dimuktamadkan ialah penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.

Mesyuarat berkenaan turut mencapai persetujuan baharu, termasuk pengiktirafan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik bagi projek bernilai bawah RM50 juta.

Cadangan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Sarawak memperakukan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman juga telah disepakati.

Isu pertambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak akan terus diteliti, manakala cadangan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Disember ini.

Walaupun sembilan tuntutan telah diselesaikan, beberapa perkara lain masih dalam perbincangan dan akan dipantau secara berterusan melalui platform MTPMA63, termasuk jawatankuasa teknikal dan kerja di peringkat kementerian serta agensi berkaitan.

Sejak diwajibkan berlangsung sekurang-kurangnya sekali setahun, mesyuarat MTPMA63 kekal sebagai platform utama dalam memastikan isu-isu MA63 diangkat, diteliti dan diselesaikan secara menyeluruh demi memperkukuh hak Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Sumber: TV Sarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal