Mayat Warga Emas Ditemui Selepas Tertimbus Tanah Runtuh di Kampung Sarapung, Penampang

Penampang: 12 September 2025 – Pihak Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengesahkan mayat seorang lelaki warga emas yang dipercayai hilang selepas tertimbus akibat tanah runtuh di Kampung Sarapung Kolopis, Penampang, telah ditemui.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Bin Newton, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11 September 2025, jam lebih kurang 6.55 petang daripada Balai Bomba Penampang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta orang awam.

Mayat mangsa ditemui pada 12 September 2025, jam lebih kurang 10.40 pagi di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Supt. Sammy menasihatkan orang awam agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video kejadian di media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Beliau turut menekankan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan, terutamanya ketika berada di kawasan berisiko tanah runtuh atau semasa cuaca buruk, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Sumber: Polis Daerah Penampang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal