Tukang cat dihadapkan ke mahkamah atas lima pertuduhan jenayah seksual terhadap kanak-kanak

IPOH: 10 September 2025 – Seorang tukang cat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan rogol dan seks luar tabii terhadap seorang kanak-kanak perempuan.

Tertuduh Lee Fong Chiew, 60, bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Kantonis di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, Lee didakwa merogol mangsa yang berusia antara sembilan tahun lapan bulan hingga 10 tahun lapan bulan dalam tiga kejadian pada 9 September, 10 September 2024, dan 1 Ogos lalu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa melakukan seks luar tabii terhadap mangsa pada 9 September 2024 dan seks oral pada 24 Ogos lalu. Kelima-lima perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah dalam daerah Kampar dan tertuduh berdepan kesalahan di bawah Seksyen 376(2) dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Ng Xin Ru.

Nor Arfahanim tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan serius selain tertuduh dikenali oleh keluarga mangsa, namun memohon agar jaminan ditetapkan RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan.

Peguam tertuduh, Ng Xin Ru, merayu agar Lee diberi ikat jamin memandangkan masalah kesihatan dan pendapatan tertuduh yang tidak menentu antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin untuk semua pertuduhan, berserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 29 Oktober depan untuk serahan dokumen dan laporan perubatan.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal