KUALA LUMPUR: 5 September 2025 – Skuad bawah 23 (B-23) negara tiada pilihan selain meraih kemenangan ke atas Mongolia bagi memastikan peluang ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Arab Saudi tahun depan terus terpelihara.
Selepas tewas tipis 0-1 kepada Lubnan pada aksi pembukaan Kumpulan F, anak buah Nafuzi Zain kini perlu bangkit dalam pertembungan kedua menentang Mongolia di Stadium Thammasat, Thailand, malam ini.
Mengikut format kejohanan, hanya juara kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik daripada 11 kumpulan layak ke pusingan akhir.
Situasi itu memaksa Malaysia bukan sahaja perlu mengalahkan Mongolia, tetapi mesti menewaskan pasukan pilihan, Thailand, pada aksi terakhir Selasa ini.
Nafuzi mengakui penyudah tumpul menjadi punca utama kegagalan menjaringkan gol pada perlawanan lalu. Justeru, fokus akan diberikan kepada peningkatan kualiti serangan selain mengelakkan kesilapan mudah yang boleh dihukum lawan.
Thailand kini mendahului Kumpulan F selepas membelasah Mongolia 6-0 dalam aksi pertama, manakala Lubnan berada di tangga kedua berkongsi tiga mata. Malaysia pula menghuni kedudukan ketiga tanpa sebarang mata.
Sumber , Berita Harian

