TAWAU: 4 September 2025 – Polis menahan seorang wanita tempatan berusia sekitar 40 tahun selepas disyaki terlibat dalam kes ugutan dan mencederakan seorang mangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Titingan, Tawau.
Dalam kejadian yang berpunca dari perselisihan keluarga, suspek bertindak agresif dengan memukul serta mengugut mangsa.
Bimbang akan keselamatan diri, mangsa kemudian tampil membuat laporan di balai polis.
Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah mengesan dan menahan suspek untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
Pihak polis menegaskan tindakan pantas diambil bagi memastikan keselamatan mangsa serta mencegah kejadian berulang di kawasan berkenaan.
Sumber: Polis Daerah Tawau