KUALA LUMPUR: 4 September 2025 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas diserang seekor anjing ketika menunggang basikal berhampiran rumahnya di Batu 9, Cheras, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang sebelum mangsa segera dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Beliau kini dirawat di wad kanak-kanak dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati anjing terbabit telah ditangkap oleh anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953 yang membolehkan haiwan yang menggigit dikurung bagi memastikan ia tidak dijangkiti rabies atau penyakit berbahaya lain.
Polis turut menasihati orang ramai yang memelihara anjing supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan serta mengawal haiwan peliharaan dengan baik bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Insiden berkenaan turut tular di media sosial selepas video memaparkan detik mangsa diserang anjing sebelum dibantu okeh beberapa individu yang berada di situ.
Sumber: Astro Awani

