TUARAN: 2 September 2025 – Seorang pekerja kilang berusia 22 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Marabahai Tambalang 2, Tuaran.
Mangsa, Yerricho O’Veall Paumin, dilaporkan menunggang motosikal jenis SYM seorang diri dari arah Marabahai Spur sebelum melanggar bahagian kiri depan sebuah Toyota Fortuner yang memasuki simpang dari Kampung Tambalang 3 menuju pekan Tuaran.
Impak kuat perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan bersama motosikalnya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah tangan kiri.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk bedah siasat.
Pemandu Toyota Fortuner, seorang lelaki pesara berusia 67 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Ketua Polis Daerah Tuaran menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan simpang, serta mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sumber: Kupikupifm

