TAWAU: 2 September 2025 – Tindakan pantas pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tawau berjaya menumpaskan kegiatan tiga individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dan pemilikan dadah dalam dua serbuan berasingan di daerah ini.
Serbuan pertama di Kampung Tinagat membawa kepada penahanan sepasang lelaki dan wanita berusia sekitar 27 tahun.
Pemeriksaan lanjut menemukan sepaket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.45 gram dalam milikan mereka.
Dalam operasi berasingan di kawasan tempat letak kenderaan di Batu 7, Jalan Apas, seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun turut diberkas.
Polis menemui sepaket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 0.44 gram bersama suspek berkenaan.
Kesemua tangkapan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Hasil saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sumber: Polis Daerah Tawau

