KOTA KINABALU: 2 September 2025 – Kontinjen Muaythai Sabah terus membuktikan keunggulan apabila meraih kejayaan besar dalam 1st ASEAN Muaythai Team & Youth Championship 2025 yang berlangsung di Paradigm Mall, Kelana Jaya, dari 28 hingga 31 Ogos lalu.
Daripada 26 atlet remaja yang diturunkan, Sabah membawa pulang 13 pingat emas, 6 perak, dan 6 gangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai antara kuasa besar Muaythai di rantau ASEAN.
Sebanyak 10 emas, 6 perak, dan 6 gangsa disumbangkan menerusi acara kombat, manakala baki 3 emas diraih dari acara Seni Wai Kru Muaythai Remaja. Pencapaian itu membuktikan kekuatan seimbang kontinjen Sabah dalam kedua-dua disiplin.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sabah, Ir. Hj. Nazri Ab Razak, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil perjuangan tanpa mengenal penat lelah para atlet serta sokongan berterusan dari jurulatih, keluarga, dan ibu bapa.
Ketua jurulatih negeri, Cyrille Dhillon Tahing, pula menekankan bahawa kemenangan itu lahir dari kerjasama erat antara atlet, jurulatih, dan pengurusan.
Beliau menambah bahawa kejayaan di peringkat ASEAN ini bakal menjadi pemangkin untuk melahirkan lebih ramai atlet pelapis dan menjadikan Sabah sebagai “powerhouse” Muaythai di Malaysia.
Selepas kejayaan cemerlang ini, Persatuan Muaythai Negeri Sabah kini memberi tumpuan penuh kepada persediaan menghadapi Sukan Sabah (SAGA) 2025 yang akan berlangsung di Tawau pada 11 hingga 17 Oktober depan.
Pencapaian gemilang di kejohanan ini sekali lagi menegaskan bahawa dengan persiapan rapi, dedikasi tinggi, dan sokongan padu semua pihak, Sabah kekal sebagai pencabar utama dalam arena Muaythai Malaysia dan ASEAN.

