KOTA KINABALU: 2 September 2025 – Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampung Delima, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.24 pagi itu, mangsa tercampak ke dalam parit akibat impak kuat dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, memaklumkan mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat.
Ujian darah turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mangsa berada di bawah pengaruh alkohol.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan demi keselamatan diri dan orang lain.
Sumber: Utusan Borneo Online

