Penjawat Awam Perlu Sentiasa Tingkatkan Ilmu dan Berintegriti- Rosli

KOTA KINABALU: 26 Ogos 2025 – Penjawat awam perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam aspek tadbir urus demi merealisasikan visi pembangunan negeri secara menyeluruh.

Penjawat awam perlu sentiasa memelihara integriti, peka terhadap keadaan semasa, dan menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat, kerana perkhidmatan awam adalah pemacu pembangunan negeri.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa berkata demikian selepas Mesyuarat Perhubungan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan Negeri Sabah Bilangan Tiga Tahun 2025, yang berlangsung di Kota Kinabalu pada Isnin lalu.

Terlebih dahulu beliau berkata, hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah amat penting bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Katanya, kerjasama Persekutuan dan Negeri menyokong agenda kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menurutnya, fokus untuk menjadikan Sabah lebih maju menjelang pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 2026 hingga 2030.

Jelas Rosli, mesyuarat tersebut menjadi wadah memperkasakan konsep Malaysia Madani yang dihasratkan Perdana Menteri. Turut dibincangkan ialah pelaksanaan pelbagai program bermanfaat kepada rakyat Sabah secara langsung.

Selain itu beberapa kertas pembentangan juga dibincangkan, termasuk persiapan program masyarakat yang akan dilaksanakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membentangkan perancangan yang memastikan perjalanan program lebih tersusun, manakala RTM menyusun jadual penyampaian maklumat yang tepat kepada rakyat.

Mesyuarat Perhubungan yang melibatkan 151 agensi di seluruh Sabah itu menekankan kepentingan kerjasama strategik antara semua pihak bagi memastikan pembangunan negeri berjalan lancar dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal