TUARAN: 25 Ogos 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, menafikan dakwaan bahawa projek menaik taraf Jalan Berungis–Pekan Tuaran terbengkalai, sebaliknya menegaskan kerja-kerja fizikal masih berjalan mengikut prosedur.
Projek sepanjang 2.7 kilometer itu dilaksanakan di bawah Rolling Plan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menggunakan kaedah reka dan bina, dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana utama.
Menurut Jasnih, kerja pembinaan bermula sejak Mac lalu, merangkumi naik taraf dari dua lorong menjadi empat lorong dua hala, dengan pembinaan jejambat pusingan U dan jambatan baharu bagi menggantikan pembetung lama.
Beliau menjelaskan, kelewatan yang berlaku berpunca dari urusan pengambilan balik tanah serta pengalihan utiliti, namun projek itu tetap diteruskan dengan tarikh siap baharu ditetapkan pada 31 Mac 2028.
Tambahnya lagi, projek berkenaan dijadualkan siap mengikut jadual baharu dan diyakini mampu meningkatkan keselesaan serta kelancaran perjalanan pengguna jalan raya di kawasan Tuaran dalam jangka panjang.
Sumber: Sabah News Today