KANGAR: 21 Ogos 2025 – Atlet muda Sabah menggamit perhatian di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-65 apabila mencipta tiga rekod baharu kejohanan di Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis.
Pencapaian itu disumbangkan oleh Nur Aisyah Balqishah Osman (80 meter berpagar, Perempuan 12) dengan catatan 12.32 saat, Mohammad Jumaidin Abdullah (80 meter berpagar, Lelaki 12) dengan catatan 10.90 saat, serta Deaxter Pius (400 meter, Lelaki 15) dengan catatan 48.90 saat.



Setakat jam 9.00 pagi, kontinjen Sabah yang diwakili 90 atlet berada di kedudukan teratas daripada 16 kontinjen dengan kutipan 10 pingat emas, 11 perak dan 6 gangsa. Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai kuasa utama olahraga sekolah di negara ini.
Sabah kini berada pada landasan kukuh untuk mengekalkan momentum setelah muncul juara keseluruhan MSSM edisi ke-64 di Ipoh, Perak pada tahun 2024, sekali gus meneruskan tradisi kecemerlangan di pentas kebangsaan.