Lelaki Pukul, Cekik, dan Ugut Bunuh Isteri di Tawau Ditahan

TAWAU: 14 Ogos 2025 – Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan polis selepas disyaki memukul, mencekik, dan mengugut bunuh isterinya dalam kejadian di rumah mereka, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, memaklumkan insiden berlaku sekitar jam 6.30 petang akibat perselisihan faham antara pasangan berkenaan. Serangan itu menyebabkan mangsa, yang juga berusia 31 tahun, mengalami bengkak pada telinga kanan dan bahagian atas pipi.

Mangsa membuat laporan polis pada jam 9.16 pagi semalam, sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di kawasan tempat letak kereta hadapan sebuah bank di bandar ini, kira-kira jam 5 petang hari sama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga, dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Pihak polis turut mengingatkan orang ramai, khususnya mangsa keganasan rumah tangga, supaya segera melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan insiden lebih serius serta menyelamatkan nyawa.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal