NILAI: 11 Ogos 2025 – Kontinjen Zealous Taekwondo Club (ZTC) dari Telupid dan Beluran melakar pencapaian cemerlang apabila membawa pulang lima pingat emas, sembilan pingat perak, dan dua pingat gangsa di 7th International Heros Taekwondo Cup yang berlangsung di Nilai, Negeri Sembilan, dari 7 hingga 10 Ogos lalu.
Kejohanan berprestij itu menyaksikan penyertaan lebih 5,000 atlet dari 22 negara, mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Kyorugi (tempur), Poomsae (seni), dan Virtual Taekwondo (tempur maya). Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Penganjur, Master Yoga Ong.

Dalam edisi itu, ZTC menghantar 27 atlet untuk mewakili Telupid dan Beluran, bersama beberapa kelab taekwondo yang aktif dari negeri Sabah.
Walaupun berhadapan dengan cabaran, penyertaan kali ini berjaya direalisasikan melalui komitmen penuh ibu bapa atlet, selain bantuan dana dari Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang. Perancangan awal dalam pengurusan kos tiket, penginapan dan makan minum menjadi faktor utama kelancaran misi pasukan.

Pasukan ini dibimbing oleh pengurus pasukan, Marjana binti Adam;, ketua jurulatih Kevin Amit, pembantu jurulatih; Mildred Awing John dan Denddy bin Jumid.
Antara atlet yang menyerlah dalam kejohanan itu ialah Allysyah, yang muncul sebagai penyumbang terbesar apabila meraih dua pingat emas masing-masing dalam acara Virtual Taekwondo dan Kyorugi. Manakala emas lain disumbangkan oleh Feroz dan Dewi menerusi acara Kyorugi, dan Iman menambah satu lagi emas dalam acara Poomsae Amatur.
Bagi pingat perak, pemenangnya ialah Sarah (Poomsae Pro), Shane (Poomsae Amatur), Hazwani (Poomsae Amatur), Stephanie (Kyorugi), Zachary (Kyorugi), Jelita (Kyorugi), Suhada (Kyorugi), Shafera (Kyorugi), dan Raihan (Kyorugi). Sementara itu, dua pingat gangsa disumbangkan oleh Ezuan dan Masdirgahayu dalam acara Kyorugi.
Kejayaan di peringkat antarabangsa itu membuktikan kemampuan atlet muda dari Sabah untuk bersaing dengan jaguh dunia. Ia juga menjadi motivasi kepada bakat-bakat baharu agar terus berusaha mengasah kemahiran dan menembusi pentas lebih besar.

Pencapaian gemilang itu sekaligus mengharumkan nama Telupid, Beluran, dan negeri Sabah, serta meletakkan ZTC sebagai antara kelab taekwondo yang berpotensi melahirkan juara dunia di masa hadapan.