Lahad Datu: 4 Ogos 2025 – Tindakan tiga beradik menggunakan kad ATM tercicir untuk tujuan peribadi membawa padah apabila mereka ditahan polis selepas disyaki menyalahgunakan kad tersebut untuk beberapa transaksi tanpa kebenaran pemilik.
Ketiga-tiga suspek wanita warga tempatan itu ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas siasatan mendapati mereka telah menggunakan kad debit milik orang lain untuk membuat bayaran melalui kemudahan “paywave” di beberapa pusat beli-belah sekitar daerah ini.
Menurut pihak polis, laporan awal dibuat oleh pemilik kad ATM Agro Bank yang menyedari kehilangan kadnya sebelum mendapati terdapat transaksi tidak sah yang dilakukan tanpa pengetahuannya. Susulan semakan bersama pihak bank, mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada siasatan lanjut dan penahanan suspek.
Ketiga-tiga individu terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, yang memperuntukkan hukuman terhadap individu yang menggunakan capaian komputer atau rangkaian tanpa kebenaran dengan niat melakukan penipuan atau memperoleh keuntungan secara tidak sah.
Polis mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kehilangan kad bank dan berhati-hati dalam menyimpan maklumat perbankan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.
Sumber: Polis Daerah Lahad Datu