Sindiket Diesel RM45 Juta Tumpas Di Perairan Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: 31 Julai 2025 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi terbesar di perairan Kota Kinabalu hasil risikan dan pemantauan rapi selama hampir sebulan.

Operasi khas yang dijalankan kira-kira jam 4.30 pagi melibatkan kerjasama bersepadu antara PPM Wilayah 4 bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) serta Jabatan Laut Malaysia.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa telah menahan dua buah kapal yang dipercayai aktif melakukan transaksi minyak diesel bersubsidi secara haram. Seramai enam lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 43 tahun yang merupakan kru kapal turut ditahan bagi membantu siasatan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kapal-kapal berkenaan membawa anggaran 250,000 liter minyak diesel disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan. Turut dirampas ialah dua buah kapal, beberapa peralatan dan dokumen berkaitan.

Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM45,590,150, menjadikan ia antara kejayaan terbesar PPM Wilayah 4 tahun ini dalam menangani jenayah berkaitan bahan api bersubsidi.

Maklumat awal mendapati kapal-kapal ini aktif menjalankan transaksi haram dengan pelbagai vesel di perairan sekitar Kota Kinabalu. Sindiket ini dipercayai beroperasi secara sistematik dan dalam jangka masa panjang.

Sehingga pertengahan tahun ini sahaja, PPM Sabah telah merekodkan sebanyak 119 kes penyelewengan petrol dan diesel, melibatkan nilai rampasan mencecah RM81.25 juta. Sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2025, seramai 135 individu telah ditahan berkaitan kesalahan tersebut.

PPM Wilayah 4 menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau penyelewengan sumber bersubsidi bagi membantu usaha penguatkuasaan.

Pasukan ini menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkukuh kawalan dan membanteras jenayah maritim demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

Sumber: Pasukan Polis Marin Wilayah 4

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal