BANDUNG: 31 Julai 2025 – Sekolah Kebangsaan (SK) Timbua, Ranau mencipta sejarah membanggakan apabila muncul johan Kategori Inovasi Permainan Digital dalam World Robotics Competition & Science Olympiad (WRCSO) yang berlangsung dari 27 Julai hingga 1 Ogos 2025 di Universitas Komputer, Bandung, Indonesia.
Lebih membanggakan, pasukan dari Sabah ini turut merangkul pingat emas dalam kategori Permainan Digital dan menerima Special Award dari Malaysia Innovation Invention and Creativity Association (MIICA), satu pengiktirafan antarabangsa terhadap keunggulan inovasi pendidikan mereka.
Pertandingan yang disertai oleh peserta dari 12 buah negara, termasuk Turkmenistan, Rusia, China, Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Jepun, Kazakhstan, Bangladesh, dan Filipina, memperlihatkan persaingan sengit dalam bidang sains, teknologi dan inovasi digital.
Kejayaan ini dicapai melalui projek inovatif MADOX (Mathematics Digital Games Based on Roblox), iaitu satu permainan digital pendidikan berasaskan pendekatan didik hibur yang mengintegrasikan kemahiran berfikir aras tinggi dalam penyelesaian masalah matematik.
Inovasi ini dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar dan guru SK Timbua sebagai alat bantu pembelajaran digital yang interaktif dan menyeronokkan.
Pasukan ini diwakili oleh tiga murid cemerlang, Ahza Aqil Farzier, Nur Zahrah Amirah binti Latiff, dan Muhammad Khairul Rayyan bin Khusairi di bawah bimbingan guru pembimbing Jaidah Wasili@Mion dan Edzlyn Laduni.
Turut serta dalam rombongan adalah guru pengiring Farizer Masibu, Salijah Sumoh, dan Roshida Sallehudin.
Penyertaan ke peringkat antarabangsa ini adalah hasil kelayakan yang diraih selepas menjuarai pertandingan serupa di Bali pada tahun sebelumnya, sekali gus melayakkan mereka untuk menyertai kejohanan Juara-Juara Inovasi peringkat Asia di Bandung.
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Tuan Hallsen Justin, turut hadir memberi sokongan kepada kontinjen sekolah itu sebagai wakil rasmi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau.
Menariknya, kos perjalanan pasukan ini dibiayai terlebih dahulu oleh pihak sekolah dan guru-guru tanpa sebarang tajaan luar, sementara tuntutan pembiayaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) masih dalam proses. Namun, pasukan ini menerima sokongan moral dan galakan daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah II, DSP YB Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Program ini adalah di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang secara berterusan menyokong pendekatan inovasi dan digitalisasi dalam pembelajaran.
Kejayaan luar biasa SK Timbua membuktikan bahawa sekolah luar bandar juga mampu bersaing di pentas antarabangsa apabila diberi ruang, sokongan dan peluang untuk berkarya melalui pendidikan inovatif.