Remaja Wanita Dakwa Dirogol, Suspek Warga Asing Diberkas di Ladang Brumas

TAWAU: 25 Julai 2025 – Seorang lelaki warga asing yang bekerja sebagai buruh kasar di Ladang Brumas, ditahan polis selepas disyaki merogol seorang remaja wanita dalam satu kejadian yang dilaporkan baru-baru ini.

Menurut maklumat awal, mangsa yang merupakan seorang remaja telah memaklumkan kejadian itu kepada rakannya. Rakan mangsa yang prihatin kemudian bertindak membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan rasmi.

Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota dari Balai Polis Bombalai, dan dibantu oleh Polis Bantuan Sabah Softwood Brumas melancarkan operasi mengesan suspek.

Hasil serbuan yang dijalankan, suspek yang dianggarkan berusia 34 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang berkenaan. Dalam operasi itu, pihak polis turut merampas sepasang pakaian yang dipercayai dipakai oleh suspek ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, dalam kenyataan ringkas, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pihak polis turut menyeru orang ramai agar sentiasa peka terhadap keselamatan diri dan segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak berkuasa.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal