“The Voice Telupid” Platform Cungkil Bakat, Raih Sambutan Luar Biasa

TELUPID: 16 Julai 2025 – Program realiti nyanyian tempatan, The Voice Telupid Season 1 , membuka tirai penganjurannya dengan penuh meriah dan menerima sambutan luar biasa komuniti setempat.

Acara ini merupakan inisiatif RQ Eventporium dengan kolaborasi strategik bersama Quadra Akin (The Crave Cafe), RQ Kitchen, Chet Richard Photography, serta menampilkan kehadiran istimewa Miss Tourism Telupid & Raraa Dalai Telupid 2025, Jerystiena Jeory, yang juga merupakan Duta The Crave Cafe.

Barisan penganjur The Voice Telupid Season 1. Foto: Chet Richard Photography

Penganjuran The Voice Telupid tercetus daripada hasrat untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan belia serta menyediakan platform hiburan sihat yang dapat menyatukan komuniti dan memberi impak positif kepada pembangunan seni di daerah ini.

Menurut Quadra, pemilihan peserta dilakukan secara atas talian melalui penghantaran video nyanyian menerusi aplikasi WhatsApp. Dari jumlah penyertaan yang diterima, hanya 12 peserta terbaik tersenarai ke pentas utama.

Tambah beliau, format pemarkahan merangkumi dua komponen utama iaitu undian peminat melalui Google Form dan kod QR, serta penilaian juri profesional berdasarkan aspek teknik vokal, kreativiti, dan penguasaan pentas.

Jelasnya, lagu yang dipersembahkan dipilih sendiri oleh para peserta dengan bimbingan pihak penganjur.

Konsert minggu pertama mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Kesemua tempat duduk penuh, malah terdapat penonton yang sanggup membawa meja dan kerusi sendiri demi menyaksikan persembahan secara langsung.

Undian peminat pula mencatat hampir 3,000 undi, sekali gus menunjukkan sokongan tinggi terhadap program ini.

Persembahan terbaik pada minggu tersebut dimenangi oleh Alvein Dee Albenus menerusi lagu Karena Ku Sanggup, nyanyian asal Agnez Monica.

Juara Minggu Pertama, Alvein Dee Albenus bersama Quadra. Foto: Chet Richard Photography

“Objektif utama kami ialah untuk mengetengahkan bakat seni suara tempatan, memupuk keyakinan diri dalam kalangan peserta dan membina komuniti yang menghargai seni. Kami berharap The Voice Telupid dapat dijadikan sebagai acara tahunan,” ujar Quadra.

Beliau turut berkongsi hasrat untuk menganjurkan edisi khas selepas ini seperti The Voice Kids Telupid dan The Voice Veteran/Classic Telupid sebagai kesinambungan kepada kejayaan penganjuran sulung tersebut.

Beliau akhiri dengan berakata, “Doakan agar segala perancangan kami dipermudahkan dan program ini terus memberi manfaat kepada komuniti.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal