Kota Kinabalu, 10 Julai 2025 – Pengundi muda dan golongan atas pagar dijangka menjadi antara kumpulan paling signifikan dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Bekas Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dua kumpulan ini tidak terikat kepada mana-mana parti politik secara langsung, namun mereka dilihat peka terhadap isu-isu semasa serta prestasi pentadbiran kerajaan semasa.
Menurut sumber, beliau menegaskan agar parti-parti politik perlu menyampaikan mesej yang lebih jelas, menawarkan dasar yang praktikal, serta menyentuh isu kehidupan sebenar dalam usaha mendekati kumpulan tersebut.
Dalam kenyataan sama, Salleh berkata bahawa masa depan pentadbiran negeri menuntut kepimpinan yang stabil, dasar yang konsisten dan komitmen yang berterusan, melebihi kempen bersifat sementara.
Beliau turut mengulas pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada 9 Julai lalu berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijangka berlaku dalam masa terdekat selaras dengan tempoh penggal semasa yang hampir tamat.
Salleh menyatakan bahawa perkembangan menjelang pilihan raya sudah mula kelihatan apabila parti-parti politik dan pemimpin mula menggerakkan jentera masing-masing melalui program turun padang serta pelbagai kenyataan awam.
Katanya, senario ini merupakan perkara lazim dalam tempoh pra-pilihan raya dan menjadi petunjuk awal kepada kempen yang bakal berlangsung menjelang PRN17.
Pilihan raya negeri ini perlu diadakan dalam tahun 2025 selaras dengan peruntukan undang-undang berhubung tempoh penggal DUN Sabah.
Sumber, Sabah News Today