Terima Rasuah RM200,000, Juruukur Direman

Share the news

Kota Kinabalu, 9 Julai 2025 – Seorang juruukur bahan yang bertugas di salah sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah direman selama empat hari bermula selepas disyaki menerima rasuah lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan pembekal.

Perintah tahanan reman sehingga 13 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hasil permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

Menurut kenyataan sumber, lelaki dalam lingkungan usia 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima wang sogokan sebagai balasan membantu kontraktor dan pembekal memperoleh beberapa projek yang ditawarkan oleh PBT terbabit antara tahun 2021 hingga 2024.

Antara projek terlibat termasuk program pembasmian kemiskinan, pembinaan rumah mesra Sabah, kerja pembersihan pusat pembuangan sampah, serta pembekalan alat ganti kenderaan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan bahawa kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan penerimaan suapan oleh penjawat awam sebagai dorongan atau ganjaran.

SPRM turut mengingatkan bahawa pihaknya komited untuk terus membanteras gejala rasuah yang menjejaskan integriti perkhidmatan awam dan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Sumber, Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal