Operasi Gempur Cekup Tujuh Lelaki Sekitar Keningau dan Tambunan

Keningau, 9 Julai 2025 – Usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah terus dipergiatkan dengan penahanan tujuh lelaki dalam Operasi Gempur Bil.1/25 yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Keningau dari 1 hingga 6 Julai lalu.

Operasi khas itu menyasarkan kawasan panas sekitar Keningau dan Tambunan, membabitkan penahanan individu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, seorang daripada suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(1) kerana memiliki dadah dalam kuantiti melebihi had biasa, manakala empat lagi disiasat di bawah Seksyen 12(2) susulan rampasan dadah jenis syabu seberat 7.13 gram.

“Kesemua suspek turut didapati positif dadah berdasarkan keputusan saringan air kencing dan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua lagi lelaki turut diberkas atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan disiasat di bawah peruntukan serupa.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada tindakan agresif dan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam mengekang penularan gejala dadah di peringkat daerah.

PDRM Keningau menegaskan bahawa operasi seumpama itu akan diteruskan secara berjadual bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat tempatan terus terpelihara.

Sumber, Sabah Dimensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal