TELUPID – Nama Mohammad Casmir Amar bin Mohammad Ali kini bakal mewarnai landskap dunia hiburan tempatan apabila telah dinobatkan sebagai juara pertandingan Bintang Sandakan FM (BSFM) 2025. Anak muda berusia 21 tahun yang berasal dari Telupid ini merupakan produk tulen Sekolah Seni Malaysia Sabah.
Mula menyanyi sejak usia 9 tahun, Casmir tidak lagi asing di pentas pertandingan nyanyian. Dari pentas sekolah hingga ke peringkat antarabangsa, beliau membuktikan bahawa bakatnya bukan biasa-biasa.
“Minat saya dipupuk oleh mummy dan daddy sejak kecil. Malah, mereka juga guru pertama saya dalam bidang nyanyian,” katanya ketika ditemu bual.
Menariknya, susunan lagu dalam persembahan akhir BSFM 2025 dilakukan sendiri oleh Casmir. Beliau mempertaruhkan lagu Gemuruh oleh Wings dan Search sebagai strategi mengekalkan momentum selepas membawakan lagu Dipenjara Janji pada peringkat separuh akhir.

“Saya bincang dengan guru dan keluarga sebelum sepakat memilih lagu ini,” jelasnya.
Cikgu Azhari, juara BSFM 2014 merupakan insan yang mendorongnya menyertai pertandingan, sekaligus menjadi mentornya. Di sebalik kejayaan Casmir, terselit usaha bertahun-tahun bapa dan awrah ibunya, serta dedikasi guru-guru Sekolah Seni.
“Kalau mereka tidak ‘push’ saya sejak dulu, saya takkan jadi saya yang sekarang,” katanya penuh rasa syukur.
Ketika ditanya tentang perasaannya selepas bergelar juara, Casmir mengakui rasa gembira yang tidak terucap. Namun bagi beliau, kemenangan itu adalah permulaan baharu untuk terus berkembang dalam bidang seni suara.
“Saya ingin berpesan kepada bakat-bakat muda di Sabah agar jangan malu menonjolkan bakat, terus belajar, dan jangan pernah berhenti. Ingat, ‘work in silence, make bigger result’,” ujar Casmir sambil tersenyum.
Casmir juga merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan akan terus menyertai pertandingan-pertandingan nyanyian sebagai medan mengutip pengalaman.
Ditanya tentang lagu baharu, katanya sambil ketawa, “Doa-doa sajalah ada, tapi kalau tiada lagu sendiri, saya akan cipta untuk orang dulu.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, guru-guru, rakan-rakan Sekolah Seni, warga Telupid, serta tempat-tempat yang menjadi pentas awal seperti Eroney Garden dan Aisyah Dealova Café. Tidak dilupakan juga kepada kru BSFM 2025 dan band pengiring Atomic Power yang dianggapnya “padu gila”.
Kejayaan Casmir Amar bukan sekadar meiliki vokal hebat, tetapi kisah ketekunan, sokongan komuniti, dan semangat untuk terus mengangkat seni tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.