RANAU, 17 Jun 2025 – Komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan pemilikan tanah yang sah kepada rakyat terus diterjemahkan melalui pelaksanaan Program PANTAS Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), apabila seramai lebih 500 penduduk daripada tiga kampung di daerah Ranau menerima geran tanah masing-masing.
Majlis Penyerahan Geran Tanah diadakan di Dewan Mini Kampung Narawang melibatkan penduduk dari Kampung Narawang, Kampung Waluhu, dan Kampung Lutut. Penyerahan disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir.
Sebanyak 396 geran tanah diserahkan semasa majlis tersebut, manakala baki 148 geran lagi dijangka akan diserahkan dalam tempoh terdekat selepas semua urusan dokumentasi diselesaikan.
Menurut Abidin, Program PANTAS merupakan satu inisiatif penting kerajaan untuk mempercepat proses pemberimilikan tanah kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang masih belum mempunyai dokumen hak milik yang sah.
“Kita amat menghargai usaha Jabatan Tanah dan Ukur dalam menjayakan program ini. Pemberian geran tanah ini bukan sahaja memberi kepastian pemilikan kepada penduduk, tetapi juga membuka peluang kepada pembangunan sosioekonomi setempat,” ujar beliau.
Tambah beliau, program ini akan diteruskan di beberapa kawasan lain termasuk di Mukim Suminimpod, serta kawasan Tinanom, Kodop, dan Kigibangi sebagai kesinambungan kepada agenda pembangunan Kerajaan Negeri Sabah di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah atau PANTAS merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri yang mendapat sokongan penuh pimpinan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan dilihat sebagai platform strategik bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar melalui jaminan pemilikan tanah yang sah.
Dalam masa yang sama, Ketua Kampung Nahur Masipah yang mewakili penerima menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri dan Datuk Abidin atas usaha gigih yang telah membuahkan hasil yang amat dinanti-nantikan.
“Setelah sekian lama kami menanti, akhirnya tanah yang diwarisi sejak turun-temurun kini diiktiraf secara rasmi. Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang menjayakan program ini,” katanya.
Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Saat Durasit yang turut hadir berkata pihaknya akan terus melaksanakan Program PANTAS secara berperingkat selagi peruntukan Kerajaan tersedia.
Pelaksanaan program ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan GRS kekal komited dalam memastikan hak dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.