Tontonan Lebih 3 Juta di YouTube, “Lumangad Oku Dika” Bakal Dicalonkan dalam Muzik-Muzik

Share the news

Kota Kinabalu – Penyanyi muda berbakat dari Sabah, Ryenald Guntabid, atau lebih dikenali sebagai Rey Guntabid, terus mengorak langkah dalam dunia seni tanah air apabila single pertamanya, Lumangad Oku Dika, bakal dicalonkan dalam program muzik berprestij, Muzik-Muzik.

Lagu yang menggabungkan Bahasa Melayu dan Bahasa Dusun ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam negara, malah telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, termasuk di Indonesia. Sejak dilancarkan, Lumangad Oku Dika telah meraih lebih 3 juta tontonan di YouTube, menjadikannya antara karya muzik tempatan yang mendapat perhatian meluas dalam tempoh kurang setahun.

Penyertaan lagu ini dalam Muzik-Muzik mendapat sokongan penuh daripada keluarga serta label naungannya, XIOKK, yang menjadi tulang belakang utama dalam mendorong Rey membawa karya ini ke tahap lebih tinggi. Meskipun proses pendaftaran tidak mengambil masa yang panjang, Rey mengakui bahawa menanti pengumuman pencalonan merupakan saat yang paling mendebarkan sepanjang perjalanan ini.

Dalam aspek penerimaan pendengar, Rey menzahirkan keyakinan terhadap sokongan padu masyarakat, khususnya dari negeri kelahirannya, Sabah, yang sentiasa berdiri teguh di belakang bakat tempatan. Menjelang fasa undian nanti, strategi promosi yang lebih strategik melalui platform media sosial bakal digerakkan bagi memastikan Lumangad Oku Dika terus mendapat tempat dalam hati pendengar arus perdana.

Sebagai penghargaan, naib johan Sugandoi 2023 itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pendengar yang tidak pernah berhenti menyokong sejak awal kemunculannya. Beliau menyeru agar sokongan terhadap Lumangad Oku Dika diteruskan dalam usaha memperkukuh kedudukan lagu-lagu tempatan di persada muzik tanah air.

Dengan semangat juang, keaslian karya, dan sokongan komuniti, Lumangad Oku Dika dilihat mempunyai potensi besar untuk mencipta kejayaan tersendiri di pentas Muzik-Muzik, sekali gus mengangkat nama Sabah di persada hiburan nasional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal