Lesen Memandu Baharu dengan Ciri Keselamatan Dipertingkatkan

Share the news

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan reka bentuk baharu Kad Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang kini dilengkapi dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata versi terkini kad tersebut sedang diedarkan secara berperingkat di seluruh negara, dan buat masa ini hanya terhad kepada dua kategori pemohon — warganegara Malaysia yang akan ke luar negara dan bukan warganegara yang memperbaharui lesen memandu mereka.

Beliau berkata, pemohon biasa yang memperbaharui lesen hanya akan menerima versi digital lesen tersebut.

“Kami sedar bahawa tidak semua negara menerima aplikasi MyJPJ — Singapura telah menerimanya, tetapi beberapa negara lain masih tidak menerima lesen memandu digital.

“Oleh itu, pengembara perlu membawa lesen memandu fizikal bersama Permit Memandu Antarabangsa (IDP), yang boleh dipohon di JPJ, kerana setiap negara mempunyai peraturan masing-masing,” katanya dalam sidang media di IM Intensif Sdn Bhd Adda Height di sini.

Beliau berkata, reka bentuk baharu kad LMM ini bertujuan untuk mengelakkan pemalsuan dan pengubahsuaian tidak sah, serta dibina untuk tahan digunakan sehingga 10 tahun.

Dari segi reka bentuk, LMM terkini menampilkan imej latar Bangunan Sultan Abdul Samad dan motif gelombang abstrak di bahagian hadapan, manakala di bahagian belakang pula menampilkan Istana Negara dan motif bunga abstrak.

“Percetakan kad LMM bagi kategori yang dibenarkan kini sedang dilakukan secara berperingkat di cawangan JPJ terpilih, bagi membolehkan peralihan dari versi kad lama kepada yang terkini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal