SUSUMANGOD – Lagu Rasmi Buvazoi Tavantang Kaamatan, Karya Epik Pembakar Semangat Cinta Budaya KDMR

Dalam deras arus muzik moden yang semakin mencabar warisan budaya, hadir sebuah karya megah yang memancarkan semangat perjuangan melalui harmoni antara tradisi dan arus kontemporari. SUSUMANGOD, ciptaan luar biasa oleh Dabra Sia dan Peter Peninting, bukan sekadar lagu, ia adalah manifestasi jiwa, semangat dan cinta mendalam terhadap adat serta budaya bangsa Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

Terinspirasi dari perjuangan Casey Jovial, Pengerusi Buvazoi Tavantang Negeri, lagu ini dicipta sebagai penghormatan kepada mereka yang tidak pernah lelah mengangkat martabat warisan budaya. Nama SUSUMANGOD, yang membawa maksud ‘pejuang’, diangkat sebagai simbol keberanian dan ketekunan bagi mereka yang mempertahankan identiti bangsa dalam dunia yang semakin moden.

Walaupun tercipta dalam tempoh yang singkat, iaitu melodi disempurnakan dalam satu jam dan lirik menyusul sejam kemudian, SUSUMANGOD membuktikan bahawa keikhlasan dalam berkarya jauh lebih bermakna berbanding tempoh masa menghasilkannya. Dabra dan Peter, dengan sentuhan jitu daripada penggubah muzik berpengalaman Gusti Pratam, berjaya menenun elemen muzik tradisional dan moden dalam satu irama yang membangkitkan semangat dan menyentuh jiwa.

Membawa genre orkestra epik tradisional, lagu ini bukan hanya untuk didengar tetapi untuk dihayati sepenuhnya. Bunyi yang gah dan dinamik mengangkat mesej kepahlawanan, menyasarkan khususnya dalam kalangan generasi muda agar lebih dekat dengan akar budaya mereka sendiri.

Buat pertama kali, Dabra mencipta lagu sepenuhnya untuk penyanyi lain, dan cabaran itu disahut dengan penuh dedikasi. Pilihan menjadikan Lyron untuk menyanyikan SUSUMANGOD terbukti tepat. Meski diuji dengan kesihatan yang kurang baik ketika sesi rakaman, Lyron menyampaikan lagu ini dengan penuh jiwa dan tenaga. “Suara dia penuh warna, berkuasa, dan natural,” kata Dabra. Bagi Lyron, lagu ini bagaikan api dalam jiwa yang mampu membangkitkan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap warisan nenek moyang.

Gambar – Pencipta dan Penyanyi SUSUMANGOD

Menurut Casey, idea untuk lagu rasmi BTK ini mula berputik sejak 2023, dan hanya kembali menyala ketika konsert “Selamanya Sabahan” oleh Dabra Sia. “Saya tidak mahu mengawal kreativiti. Dabra tahu apa yang terbaik. Saya percaya padanya,” ujar Casey. Hasilnya, SUSUMANGOD kini diangkat sebagai lagu rasmi Buvazoi Tavantang 2025, suatu pencapaian yang menandakan permulaan baru dalam mengarusperdanakan budaya tempatan.

Namun SUSUMANGOD bukan sekadar lagu tema. Ia adalah seruan kepada semua lapisan masyarakat untuk kembali berbangga dengan akar budaya, jati diri, dan apa yang harus diperjuangkan. Dabra menyimpan harapan agar lagu ini mampu menjadi nyalaan semangat untuk semua. Manakala Lyron mengimpikan agar setiap pendengar merasai denyut patriotisme dan kecintaan terhadap budaya KDMR setiap kali lagu ini berkumandang.

Strim SUSUMANGOD sekarang di YouTube:-
https://youtu.be/Us0VCBoW7jg?si=J9VLiOTsmpW00NQf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal