KDCA Komited Perkasakan Adat dan Budaya KDM di Bawah Kepimpinan Baharu

PENAMPANG, 29 April 2025 –  Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) terus menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam usaha memperkasakan adat dan budaya Kadazan, Dusun, dan Murut (KDM) di Sabah.

Demikian seruan Presiden KDCA, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, pada Majlis Perlantikan Jawatankuasa Pusat KDCA yang baharu, satu penegasan yang jelas tentang hala tuju pertubuhan ini di bawah kepimpinan baharu.

Penekanan beliau terhadap pengukuhan perjuangan memelihara warisan budaya, sejajar dengan agenda pembangunan Sabah, menunjukkan visi yang komprehensif dan relevan dengan cabaran masa kini.

Dalam ucapannya di Majlis Perlantikan Jawatankuasa Pusat KDCA yang baharu kelmarin, Kitingan merakamkan penghargaan kepada semua ahli KDCA atas sokongan berterusan dan kesediaan mereka memikul tanggungjawab dalam menerajui pertubuhan yang kini berusia 59 tahun.

Beliau menekankan bahawa mesyuarat perancangan pusat yang akan diadakan di Tambunan pada bulan Jun merupakan detik penting untuk membentuk hala tuju strategik KDCA dalam usaha yang berterusan untuk berkhidmat kepada komuniti Kadazan, Dusun dan Murut.

Kitingan menegaskan pentingnya memelihara warisan budaya sejajar dengan agenda pembangunan Sabah, khususnya dalam mewujudkan peluang ekonomi melalui budaya dan pelancongan.

Jelasnya, KDCA bukan sekadar sebuah persatuan, sebaliknya merupakan tunjang penting kepada kelangsungan warisan budaya dan kesejahteraan komuniti KDM secara menyeluruh.

Sehubungan dengan usaha membantu komuniti menuju kejayaan, katanya, “Peranan KDCA selaras dengan dasar Kerajaan untuk memajukan rakyat negeri ini di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.”

Selain itu beliau juga turut menekankan peranan sambutan Pesta Kaamatan sebagai wadah pemangkin semangat komuniti, selain megukuhkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.

“Pesta Kaamatan adalah satu pendorong, katalis untuk menguatkan azam kita, membawa komuniti ke hadapan dalam bidang sosio ekonomi,” ujarnya.

Beliau menyeru ahli jawatankuasa agar memandang pelantikan mereka sebagai satu amanah yang suci serta berdoa, bermuhasabah dan bertindak dengan perpaduan demi kebaikan masyarakat dan generasi akan datang.

Mengimbas kembali sejarah KDCA yang bermula pada tahun 1966, Kitingan berkata, walaupun banyak cabaran telah dilalui, pertubuhan itu berjaya mencatat kemajuan yang signifikan hingga ke hari ini.

“Keadaan kita sekarang sudah jauh berbeza. Masih ada kekurangan, tetapi kita sudah melalui banyak kemajuan,” katanya.

Beliau turut mengajak kepimpinan KDCA untuk bersatu dan bersedia berdepan cabaran moden dalam dunia yang semakin tidak menentu, termasuk ketidaktentuan ekonomi global.

“Walau apa pun yang berlaku di luar negara, kita perlu duduk bersama, fikir bersama dan cari jalan untuk terus berjaya. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit,” katanya.

Dengan komitmen dan fokus yang jelas terhadap perancangan strategik, pembangunan ekonomi, dan perpaduan masyarakat, KDCA berpotensi untuk terus memainkan peranan penting dalam memajukan komuniti KDM dan menyumbang kepada pembangunan Sabah secara keseluruhan, serta memastikan kelangsungan warisan budaya KDM dan kesejahteraan generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal