Tuesday, December 24, 2024

3 tokoh besar bersaing sengit rebut kerusi Tuaran

Mohd Syukrie Johary

TUARAN: Parlimen Tuaran bakal menyaksikan pertembungan tiga tokoh politik berpengalaman dari satu Dewan Undangan Negeri (DUN) sama iaitu Kiulu, yang sebelum ini pernah bertembung pada dua pilihan raya lalu.

Mereka ialah penyandang kerusi Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dari UPKO mewakili Pakatan Harapan (PH); Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dari Parti Bersatu Sabah (PBS) mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Joanna Sue Henley Rampas dari Parti Warisan.

Joniston dan Joanna pernah bersaing dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di DUN Kiulu dengan kejayaan memihak kepada Joniston. Joniston menewaskan Joanna dengan kelebihan 44 undi.

Pada PRU14 pula, Joniston mengalahkan Tangau di DUN Kiulu, manakala Joanna tidak menyertai pilihan raya itu.

Joniston dan Tangau pernah berada dalam komponen Barisan Nasional (BN), sebelum parti mereka bertindak meninggalkan gabungan itu.

Kini, tiga tokoh politik etnik Dusun itu sekali lagi mencuba nasib di peringkat lebih tinggi iaitu merebut kerusi parlimen sebagai landasan perjuangan mereka membangun daerah ini dan membela nasib penduduknya.

Melihat dari segi peluang, ketiga-tiga mereka mempunyai masa depan cerah untuk dipilih oleh pengundi kawasan itu.

Namun, pemerhati politik berpendapat pengalaman, senioriti serta pendekatan yang ditampilkan mana-mana calon bukan jaminan atau tiket membolehkan mereka menang mudah pada pertandingan kali ini.

Justeru, setiap calon yang turut bertanding perlu memikirkan kaedah baru yang boleh diguna pakai untuk memikat hati pengundi terutama golongan muda.

Jika dikatakan Tangau boleh kembali sebagai penyandang kerusi Parlimen Tuaran, juga tidak boleh dinafikan kerana beliau sudah lama menabur bakti di kawasan itu, selain dikenali serta disenangi penduduk setempat.

Begitu juga Joniston, walaupun beliau ADUN Kiulu, Tuaran sentiasa dekat dihatinya apabila sering kali menghadiri program di luar kawasan diwakilinya terutama parlimen di tandinginya.
Joanna juga sama, walaupun belum pernah diangkat sebagai wakil rakyat, Tuaran adalah darah dagingnya sejak bergiat aktif dalam politik.

Sehubungan itu, terpulang kepada penduduk Tuaran siapa yang mereka senangi dan mahukan sama ada gajah, lembu atau kerbau.

Undi itu rahsia. Menang kalah itu adalah adat pertandingan.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights