Umno Bahagian Kalabakan Akan Akur Calon Pilihan Pucuk Pimpinan

Share the news

Umno Bahagian Kalabakan Akan Akur Calon Pilihan Pucuk Pimpinan

Andi ketika ditemui pemberita di Tawau

Oleh: Nilam Raon

TAWAU: Umno Bahagian Kalabakan yakin pucuk pimpinan akan meletak calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hasil saranan dan cadangan peringkat bahagian yang mempunyai peluang untuk meraih kemenangan.

Ketuanya, Datuk Andi Muhamad Suryadi Bandi berkata, setakat ini belum ada pengesahan rasmi berkaitan calon bagi kerusi Parlimen P.181 Kalabakan walaupun terdapat desas desus kerusi itu akan ditandingi Umno, Barisan Nasional (BN) daripada calon luar.

“Akhirnya apabila calon diputuskan kita akan akur kepada pucuk pimpinan kerana kita sebagai satu pasukan kita kena ikut dengan kehendak dan juga kemahuan semua pihak.

“Tetapi walau apa pun seperti yang saya nyatakan tadi saya fikir pucuk pimpinan ada rasionaliti sendiri jadi mereka mendengar keluhan dan pandangan yang sudah pasti daripada kepimpinan bahagian,”katanya ketika ditemui pada Majlis Maulidur Rasul Tabika KEMAS peringkat DUN Tanjung Batu, di sini hari ini.

Dalam masa sama beliau yakin seramai 20 ribu ahli Umno Kalabakan akan membantu kemenangan calon BN bagi merampas semula kerusi itu daripada Parti Warisan (Warisan).

Sementara itu beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menggugurkan keahlian mana-mana ahli sebaliknya perkara itu tertakhluk kepada keputusan Ahli Majlis Tertinggi (AMT).

Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata sebagai mengulas kenyataan mantan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh yang mendakwa keahliannya dalam Umno telah digugurkan.

“Setelah semakan dibuat nama beliau (Datuk Abd Ghapur) masih ada cuma tidak aktif tetapi sebagai negara demokratik kita menghormati hala tuju beliau yang baharu dan kita berterima kasih atas khidmat beliau sepanjang beliau menjadi ahli Umno,” katanya.

Andi berkata, selepas PRU14 Umno Bahagian Kalabakan telah melakukan proses pemutihan bagi mengenalpasti hanya ahli Umno yang aktif dan masih setia berada dalam perjuangan.

“Kita khuatir mereka yang tidak setia ini akan cuba sabotaj parti sebab itu kita lakukan pengkelasan ini dan hantar senarai nama ke pusat untuk digugurkan tetapi hanya melibatkan pemimpin utama yang beralih arah keluar parti,” katanya lagi.

– Tv Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

TV Sabah | News Portal