Sabah juara keseluruhan Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12

IMG 20261128 WA0013

Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim

PENAMPANG: Sorakan kemenangan bergema di Dewan KDCA semalam selepas kontinjen Malaysia A (Sabah) diumumkan juara keseluruhan Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 Tahun 2026.

Kejohanan lima hari bermula 23 November itu menyaksikan sembilan jenis sukan dipertandingkan, dengan penyertaan delegasi dari negara anggota BIMP-EAGA.

Majlis penutupan disempurnakan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (MYSpaCE), Datuk Haji Nizam bin Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan. Beliau menegaskan kejohanan itu lebih daripada sekadar memburu pingat.
“Semangat persahabatan, nilai perpaduan, pengalaman, jaringan kerjasama sepanjang kejohanan ini merupakan legasi yang jauh lebih bermakna. Kemenangan bukan satu-satunya ukuran kejayaan,” katanya.

Malaysia B (Sarawak) muncul naib juara, manakala Filipina (Davao City) menduduki tempat ketiga keseluruhan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan, termasuk jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan, persatuan sukan, rakan strategik, sukarelawan dan petugas.

Pujian khusus beliau tujukan kepada Ketua Delegat Teknikal dan pegawai teknikal sembilan jenis sukan lantikan Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) yang memastikan setiap pertandingan berjalan mengikut peraturan.

Penganjur berharap kejohanan ini terus menjadi pemangkin pembangunan sukan serantau dan membuka ruang kerjasama lebih luas untuk melahirkan atlet berpotensi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal