Tenom perlu tarik lebih ramai pengunjung luar – Jamawi

b1952f0d 57bf 42ca 9d9a c0cad0dfef74.jpg

Oleh David E.

TENOM: Peniaga kecil di daerah ini bakal menerima limpahan rezeki jika lebih ramai pengunjung luar datang ke Tenom, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Populasi sekitar 58,000 orang mendorong Tenom memperluas daya tarikan supaya jualan perniagaan terus berkembang.

“Untuk mencapai impian ekonomi lebih tinggi, kita kena ambil orang luar datang ke Tenom. Bagaimana kita cari orang datang ke Tenom? Antaranya melalui aktiviti pelancongan, sukan dan rekreasi, acara lain dan usaha membuka kampus universiti di kawasan Tenom,” katanya.

Jamawi, ADUN Melalap, berkata demikian pada Majlis Cabutan Tiket Bertuah 10 Hadiah Utama sempena Kejohanan Bola Tampar Terbuka Lelaki dan Wanita Daerah Tenom 2026 di hadapan Mural Tenom.

Kejohanan itu dianjurkan Kelab Rekreasi dan Kebajikan Kompleks Sukan Tenom (KRKKST) dan Karnival Sukan Tangan Keramat anjuran Kelab Belia Aktif Kampung Saga Ulu (KBAKSU).

Tenom merancang melancarkan Tahun Melawat Tenom 2027 pada Januari depan.

Sepanjang tahun ini, lapan hingga sembilan program sukan dan rekreasi dilaksanakan, termasuk motocross yang menarik ramai pengunjung ke Melalap.

Pertandingan Tarian Singa peringkat kebangsaan pada 4 hingga 6 Disember di Dewan Chung Hwa dijangka menarik peserta dari Kota Kinabalu, Labuan, Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Jamawi turut merancang kampus universiti di Tenom melalui penyediaan kira-kira 100 ekar tanah di Lagud Seberang di bawah Jabatan Pertanian Sabah untuk pertimbangan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kampus itu berpotensi menawarkan program pertanian peringkat sijil atau diploma kerana daerah ini mempunyai pelbagai aktiviti pertanian.

“Kalau UMS buat kampus, sama ada sijil atau diploma pertanian, memang sesuai untuk daerah kita yang banyak aktiviti pertanian. Anak-anak kita tidak perlu lagi pergi ke Kota Kinabalu atau Semenanjung untuk melanjutkan pengajian, sebaliknya orang dari Kota Kinabalu dan Semenanjung boleh datang ke Tenom,” katanya.

Beliau berharap dapat meninggalkan sesuatu bermakna kepada masyarakat Tenom dan Melalap sepanjang tempoh lima tahun sebagai wakil rakyat.

Beliau turut memberi komitmen menyokong penuh penganjuran program sukan, rekreasi dan aktiviti komuniti oleh pelbagai persatuan di daerah ini untuk membantu merancakkan ekonomi tempatan.

Dalam pada itu, Jamawi berkata tanggungjawabnya sebagai menteri turut merangkumi memastikan bekalan makanan yang dibawa masuk ke Sabah memenuhi aspek kebersihan, keselamatan dan status halal.

Beliau melakukan lawatan ke beberapa negara pembekal untuk memastikan produk makanan diimport, termasuk daging lembu, kambing dan ayam, memenuhi piawaian keselamatan dan kesihatan.

Jamawi turut memberikan penghargaan kepada Pengerusi KRKKST, Maniah Runggi @ Lidwina, dan Pengerusi KBAKSU, Shah Rezza Balaludin.

– TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal