KOTA KINABALU: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kampung Pondoh, Pulau Gaya berdepan tekanan dan ketidaktentuan nasib keluarga ketika rakan sebaya lain tenang mengulang kaji pelajaran.
Ahli Parlimen Belia Malaysia (Sabah 14), Reichard Owens LRM Charles menggesa semua pihak berkaitan menangguhkan sementara sebarang tindakan di kawasan itu sehingga peperiksaan penting berkenaan selesai.
Reichard yang juga Timbalan Presiden Parti Mandat Belia berkata, perancangan pembangunan di kawasan itu wajar dilaksanakan tanpa mengorbankan hak pelajar menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang.
“SPM bukan sekadar peperiksaan, ia merupakan satu fasa penting yang membawa harapan, impian dan masa depan seorang anak, malah seluruh keluarga mereka.
“Tempoh penangguhan tersebut boleh dimanfaatkan untuk semua pihak mengadakan perbincangan, meneliti keadaan dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.
Reichard menegaskan gesaan itu bukan bertujuan menyebelahi mana-mana pihak atau mempertikaikan tanggungjawab sesiapa. Sebaliknya, ia demi memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak terbabit tidak terabai.
Reichard turut menasihati pelajar terlibat agar terus fokus, kekal tenang dan tidak membiarkan keadaan semasa mematahkan semangat mereka dalam menghadapi peperiksaan.
