Kesejahteraan keluarga ukuran kemajuan negara – Anwar

96fc64b8 9288 4d99 a546 4163cad703b0

KUALA LUMPUR: Kesejahteraan keluarga menjadi ukuran sebenar kemajuan negara, bukan kemegahan bangunan pencakar langit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan Malaysia hanya bermakna apabila kehidupan setiap keluarga menjadi lebih baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan anak-anak lebih terbela.

“Empat tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat, namun saya masih ingat betapa beratnya amanah ini tatkala negara berdepan pelbagai cabaran. Ekonomi tertekan, kedudukan kewangan negara terbatas, rakyat bergelut dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi sempena genap empat tahun pentadbirannya.

Anwar berkata, sepanjang empat tahun itu kerajaan bersama rakyat membina asas lebih kukuh untuk Malaysia. Kedudukan kewangan negara diperkemas, tatakelola diperbaiki, reformasi institusi digerakkan dan kebajikan rakyat terus diperkukuh.

“Saya sedar bahawa ukuran sebenar kemajuan negara adalah apabila kehidupan setiap keluarga menjadi lebih baik, rezeki lebih terjamin dan masa depan anak-anak lebih terbela,” katanya.

Antara usaha diketengahkan dalam laporan pencapaian itu ialah penyusunan semula subsidi elektrik, diesel dan petrol RON95 yang menjimatkan RM15.5 bilion untuk negara.

Penjimatan itu disalurkan semula kepada rakyat menerusi peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) hampir dua kali ganda, dari RM8 bilion ke RM15 bilion.

Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) turut meningkat dari RM450 juta ke RM794 juta, manakala Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah naik dari RM400 juta ke RM870 juta.

Dari aspek pendapatan, gaji penengah bulanan rakyat meningkat RM743, dari RM2,424 ke RM3,167. Kadar pengangguran menurun ke 2.9 peratus, paras terendah dalam tempoh 10 tahun.

Kadar inflasi berada pada 1.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022, manakala ringgit mengukuh dari RM4.75 ke RM3.95 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Kerajaan MADANI turut menggubal Akta Pekerja Gig 2025 bagi melindungi lebih 1.64 juta penghantar makanan dan pemandu e-hailing. Dua akta lain diperkenalkan, iaitu Akta Antibuli 2026 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

Dalam aspek reformasi institusi, kerajaan memulihkan kebebasan Parlimen dan mencadangkan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.

Anwar menghargai kesabaran dan teguran rakyat sepanjang empat tahun pentadbirannya. Beliau memberi jaminan untuk terus berusaha meringankan beban rakyat dan membuka lebih banyak peluang saksama untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal