KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap, Datuk Jamawi Jaafar memaklumkan beliau terjatuh di tandas ruang menunggu kenamaan (VIP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.
Kejadian itu menyebabkan kepalanya terhantuk ke lantai sehingga memerlukan rawatan jahitan.
Menerusi hantaran di Facebook, Jamawi menjelaskan kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar.
“Permukaan lantai tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai,” katanya.
Beliau kemudian mendapatkan rawatan kecemasan di Menara Medical Clinics KLIA dan merakamkan penghargaan kepada pasukan doktor dan jururawat yang menjahit lukanya.
Jamawi turut menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad mengambil langkah segera, termasuk menambah baik permukaan lantai tandas, menyediakan laluan kecemasan ke klinik berhampiran dan melatih kakitangan dalam rawatan awal kecemasan.
Beliau yang baru menamatkan perjalanan panjang melalui Brasilia–Sao Paulo–Doha–KLIA dijadualkan menyambung penerbangan pulang ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 petang ini.
