KOTA KINABALU: Bagi empat anak seni Sabah, pentas DIORAMA by Rizky Febian di Sabah International Convention Centre (SICC) pada 5 Disember ini bukan sekadar konsert, tetapi peluang membawa identiti budaya dan bahasa ibunda ke khalayak serantau.
Empat artis tempatan yang terpilih ialah Elica Paujin, Ryenald Guntabid, Gretchene Quirina dan kumpulan pop wanita SMDX.
Mereka bakal berkongsi pentas dengan tiga penyanyi popular Indonesia, iaitu Rizky Febian, Mahalini Raharja dan Anggi Marito dalam konsert anjuran REMORPH bersama penganjur bersama Chunk N Dunk yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam.
Sepanjang sedekad pembabitannya dalam industri muzik, Rizky meraih pelbagai pengiktirafan termasuk beberapa trofi Anugerah Musik Indonesia (AMI) Awards dan gelaran Best Asian Artist Indonesia di Mnet Asian Music Awards (MAMA) 2020.
Menerusi konsert bertemakan “Malam Rawan” itu, beliau bakal mempersembahkan rangkaian lagu popular termasuk Kesempurnaan Cinta, Hingga Tua Bersama, Penantian Berharga, Cuek, Alamak dan Bermuara dalam persembahan audio visual imersif.
Turut mengiringi persembahan itu ialah Mahalini Raharja yang memenangi kategori Album Pop Terbaik di AMI Awards 2023 menerusi album Fábula. Beliau turut dikenali menerusi lagu Sial yang melepasi 500 juta strim di Spotify, dan Sisa Rasa yang mendapat sambutan peminat muzik serantau.
Anggi Marito pula mendapat perhatian peminat muzik Malaysia dan Indonesia menerusi lagu balada Tak Segampang Itu yang menduduki kedudukan teratas carta penstriman di kedua-dua negara. Pencapaian itu turut mengiringi pengiktirafannya sebagai Breakthrough Artist of the Year di Indonesian Music Awards 2023.
Bagi Elica Paujin dari Tambunan, pentas ini meneruskan perjalanan seninya selepas mara sebagai finalis kategori Asian Folk di InterContinental Music Awards (ICMA) 2026 menerusi lagu Oh Huminodun yang mengangkat legenda warisan masyarakat Kadazandusun.
Lagu Lumangad Oku Dika yang mengetengahkan bahasa Kadazandusun membawa Ryenald Guntabid meraih tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40).
Gretchene Quirina yang memulakan perjalanan seni menerusi pertandingan nyanyian tradisional tempatan kini mengembangkan kerjaya muziknya menerusi karya pop balada Aku Bodoh, hasil sentuhan komposer Indonesia.
Turut menyertai barisan artis tempatan ialah SMDX yang mengetengahkan muzik moden beridentitikan Sabah menerusi lagu Original Sabahan.
Konsert di Kota Kinabalu itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah Malaysia Rizky Febian selepas persembahannya di Zepp Kuala Lumpur pada 29 November ini.
Tiket kini boleh didapati secara dalam talian menerusi platform Ticket2U dan Trip.com dengan harga RM188 bagi Cat 3 Standing, RM288 (Cat 2 Standing), RM588 (Cat 1) dan RM788 bagi Chunk & Dunk Zone.


https://www.ticket2u.com.my/event/51768/diorama-by-rizky-febian-live-in-sabah
Bagi empat artis Sabah itu, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi langkah seterusnya membawa suara Sabah ke pentas Nusantara.
