Oleh David E.
TAMPARULI: “Kita mahu mengubah pendekatan daripada sekadar memberikan bantuan kepada membina keupayaan masyarakat. Melalui latihan kemahiran, kebajikan dan aktiviti koperasi, kita berharap dapat mewujudkan peluang ekonomi yang lebih mampan.”
Itulah komitmen yang digariskan Dr. Bonaventure Boniface dalam usaha memperkasa komuniti Tamparuli menerusi penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan koperasi, dengan tumpuan kepada pembinaan kemahiran dan kemandirian ekonomi penduduk setempat.
Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan membina masyarakat yang berkemahiran, berdikari dan mampu menjana pendapatan sendiri, tanpa terbatas kepada aktiviti politik semata-mata.
“Kita mahu mengubah pendekatan daripada sekadar memberikan bantuan kepada membina keupayaan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, dua platform akan diberikan perhatian, iaitu Persatuan Gerak Bantu Komuniti (Mitatabang Komuniti) dan Koperasi Komuniti Mitatabang Berhad, yang mempunyai peranan berbeza tetapi saling melengkapi.
Mitatabang Komuniti, yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak 10 Jun 2021, memberikan tumpuan kepada latihan kemahiran, pembangunan modal insan dan bantuan kebajikan masyarakat.
Koperasi Komuniti Mitatabang Berhad memfokuskan aktiviti ekonomi dan keusahawanan, khususnya pemasaran dan penjualan produk air berjenama Mitatabang.
Menerusi Mesyuarat Agung Pertama Mitatabang Komuniti pada 13 Oktober 2026, Dr. Bonaventure mengekalkan jawatan Presiden untuk sesi 2026-2028.
Boe Sindolun dan Jilias Lintar dipilih sebagai Timbalan Presiden, manakala Selvis Gambar, Zaitus Lingguan dan Jovitha J. Sorinon sebagai Naib Presiden.
Ahli Jawatankuasa yang dipilih ialah George Bagang, Henry Insing, Nancy Mangatas, James Sinail dan Dabbie Jacquelyn.
Dr. Bonaventure turut melantik Nurul Ain Binti Repin sebagai Setiausaha, Arool Andrew Alex sebagai Bendahari dan Ziko bin Sanam sebagai Ketua Pegawai Penerangan.
Beliau yang juga Ketua Bahagian PBS Tamparuli menegaskan, penglibatan dalam NGO dan koperasi adalah secara sukarela dan terbuka kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, tertakluk kepada peraturan organisasi masing-masing.
“Politik bukan sekadar memperjuangkan perubahan, tetapi mesti mampu membawa perubahan yang nyata dalam kehidupan rakyat,” katanya.
– TV Sabah
