KREATIF SABAH, Mustapha Sakmud bincang peluang kerja belia dalam industri seni

44288ee6 8dc0 424e 981c 786742098567

KOTA KINABALU: Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud, untuk membincangkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu untuk belia Sabah dalam industri kreatif.

Pertemuan selama sejam itu berlangsung di Pejabat Perhubungan Ahli Parlimen P.171 Sepanggar, Suria Inanam, di sini.

cea45ff5 ee95 43ed 9e72 11e9ef684bdd

Pengerusi KREATIF SABAH, Chester Pang, berkata pertemuan tersebut bertujuan membina jambatan komunikasi dua hala antara komuniti seni dengan pihak kerajaan.

“Matlamat utama kami adalah untuk membina satu jambatan komunikasi dua hala antara komuniti seni dan kreatif dengan pihak kerajaan. Melalui platform ini, suara, pandangan, cadangan dan keperluan industri dapat disampaikan secara lebih tersusun. Dasar, inisiatif dan perancangan kerajaan pula dapat diterjemahkan kepada komuniti untuk difahami dan dimanfaatkan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, menyatakan sokongan terhadap usaha penyatuan tersebut. Beliau menekankan kepentingan memperluas peluang pekerjaan dan sumber pendapatan, khususnya untuk golongan belia di seluruh Sabah.

Chester berkata, pandangan tersebut selaras dengan aspirasi KREATIF SABAH. Menurutnya, industri seni dan kreatif bukan sekadar bidang penghasilan karya, hiburan atau aktiviti kebudayaan. Ia juga sektor ekonomi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, melahirkan usahawan dan menjana sumber pendapatan baharu.

Beliau turut menyambut baik pandangan Mustapha mengenai potensi pembangunan industri kreatif Sabah pada tahun 2027. Ini susulan pewujudan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Dalam kunjungan itu, Chester membentangkan latar belakang, objektif, struktur gabungan, aktiviti dan pencapaian KREATIF SABAH sepanjang tahun 2026. Beliau turut berkongsi perancangan program dan inisiatif untuk tahun 2027.

Fokus utama yang diketengahkan termasuk usaha memperkukuh jaringan persatuan anggota, pembangunan kapasiti dan profesionalisme penggiat industri, penyediaan peluang ekonomi, peluasan jaringan kerjasama dan pembangunan hab kreatif di beberapa kawasan di Sabah.

Chester berkata, perkembangan industri kreatif Sabah memerlukan sokongan bersepadu daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui agensi berkaitan.

Agensi terlibat termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MyCreative Ventures dan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Sokongan itu penting dalam aspek pembangunan kandungan, pembiayaan, latihan, teknologi, penerbitan dan akses pasaran.

“Kami percaya bahawa Sabah mempunyai bakat, kreativiti, kepelbagaian budaya dan keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai kekuatan ekonomi. Apa yang diperlukan sekarang ialah ekosistem yang lebih tersusun, peluang yang lebih terbuka dan kerjasama strategik antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan komuniti kreatif,” katanya.

Turut hadir menyaksikan penyerahan memorandum cadangan tujuh perkara itu ialah barisan delegasi KREATIF SABAH yang mewakili pelbagai latar belakang seni negeri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal