KUALA LUMPUR: Pandangan sinis sesetengah pihak terhadap ibu bapa yang membiayai pengajian anak di universiti tidak mematahkan semangat Raezal Isaiah Romacho untuk membuktikan pengorbanan keluarganya berbaloi.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL) City University Malaysia itu dinobatkan sebagai graduan terbaik pada Istiadat Konvokesyen universiti itu di World Trade Centre Kuala Lumpur, 31 Oktober lalu.
Raezal, 23, anak sulung dari enam beradik pasangan seorang kontraktor mekanik dan kerani dari Tawau, Sabah, berkata pengiktirafan itu membuktikan pengorbanan wang dan sokongan ibu bapanya tidak sia-sia.

“Ada orang cakap ibu bapa membazir duit kerana mahu menampung anak-anak masuk universiti dan belajar di luar kawasan, malah ada yang menganggap kami sebagai anak-anak yang menyusahkan ibu bapa.
“Tapi itulah pengorbanan mereka. Mereka tidak menghiraukan apa orang cakap asalkan kami berjaya membuktikan bahawa apa yang mereka laburkan untuk kami tidak sia-sia,” katanya ketika dihubungi.
Detik paling bermakna dalam ucapan Raezal di pentas konvokesyen ialah penghargaan untuk ibu bapanya menerusi bahasa Tagalog.
“Mummy, Daddy, tingnan ninyo kung nasaan ako ngayon,” katanya, yang membawa maksud “Ibu, ayah, lihatlah di mana saya berada sekarang.”
Ibunya hadir menyaksikan istiadat itu di dalam dewan, manakala bapanya mengikuti majlis itu menerusi siaran langsung.
Raezal berkata tanpa dorongan kedua-dua ibu bapanya, dia tidak mungkin berdiri di pentas itu untuk menyampaikan ucapan sebagai graduan terbaik.
Graduan yang aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar (SRC), pasukan koir, kelab kebudayaan Tradern Arts dan sukan taekwondo itu mengakui ibu bapanya terkejut dan gembira selepas dimaklumkan mengenai pencapaian itu.
Dia sendiri tidak menyangka akan menerima penghormatan tertinggi universiti itu.
Sebagai anak sulung, Raezal melihat kejayaan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi tanggungjawab memberikan contoh terbaik untuk adik-adiknya supaya terus berusaha dan meletakkan cita-cita lebih tinggi.
“Sebagai anak sulung, ia banyak membantu saya untuk melihat ke arah yang lebih tinggi supaya adik-adik saya boleh mengamalkan perkara yang betul dan berazam lebih tinggi lagi,” katanya.
Menyentuh perancangan masa depan, Raezal berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, namun tidak menolak kemungkinan bekerja sementara untuk membantu mengurangkan beban kewangan keluarganya di Sabah.
Katanya, menimba ilmu merupakan proses berterusan yang tidak terhad di alam universiti, sebaliknya menjadi sebahagian dari kehidupan untuk membina masa depan yang lebih baik.
Dalam ucapan konvokesyen itu, Raezal turut berkongsi pengalaman menghadapi peperiksaan, cabaran penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ChatGPT, dan mengimbangi tanggungjawab akademik, pekerjaan dan keluarga.
Memetik kata-kata tokoh fizik Albert Einstein agar berusaha menjadi insan bernilai berbanding sekadar mengejar kejayaan, dia menyeru rakan graduan melakukan perubahan walau sekecil mana pun demi manfaat orang lain.
Dia turut menyelitkan dialog daripada filem Dead Poets Society, “Carpe Diem. Seize the day, boys. Make your lives extraordinary,” yang bermaksud “Rebutlah hari ini; jadikan hidup kamu luar biasa,” dan puisi Robert Frost, The Road Not Taken, yang mengangkat keberanian memilih jalan hidup sendiri walaupun kurang popular.
Raezal juga merakamkan penghargaan untuk barisan pensyarah, penyelia, kakitangan universiti, rakan-rakan, ahli keluarga dan insan tersayang yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang pengajiannya.
Dia mengajak hadirin berjabat tangan sesama sendiri sebagai tanda menghargai insan di sekeliling mereka.
Sebelum menutup ucapan, dia melafazkan kesyukuran kepada Tuhan dan ungkapan Latin “In manus tuas, Domine, in hoc signo vinces” yang bermaksud “Ke dalam tangan-Mu, ya Tuhan; dengan tanda ini Engkau akan menang” sebagai tanda penyerahan diri dan keyakinan akan pertolongan-Nya.
