Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 7 November 2026 – Seorang wanita berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 3.0 gram dalam satu operasi di Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik, pada pagi Khamis.
Tangkapan dilakukan sepasukan polis dari Balai Polis Bergosong yang menjalankan Ops Tapis di kawasan sebuah rumah di kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata suspek ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan.
Hasil pemeriksaan terhadap beg milik suspek menemukan sebuah botol putih yang mengandungi 12 tiub plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan hablur jernih disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 3.0 gram.
Suspek yang merupakan warga tempatan kemudian ditahan. Dadah disyaki bersama barangan berkaitan dirampas untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Polis menegaskan operasi membanteras kegiatan dadah akan terus dipergiatkan untuk memastikan kawasan Tawau, termasuk penempatan di pulau-pulau, bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Sumber: PDRM Daerah Tawau
