GUANGZHOU: 4 November 2026 – Tokoh perniagaan Sabah, Datuk Dexter Lau, membawa suara sektor perniagaan Malaysia ke pentas antarabangsa semasa mewakili Federation of Public Listed Companies Berhad (FPLC) dalam pemeteraian kerjasama strategik bersama dua kumpulan industri utama Guangzhou, China.
Kerjasama menerusi Surat Hasrat (LOI) dengan Guangzhou Industrial Investment Holdings Group (GIIHG) dan Dongling Holdings Group itu dimeterai sempena Persidangan Pelaburan Antarabangsa Guangzhou Ke-12 pada 4 November. Ia mencatat sejarah sebagai kerjasama seumpamanya yang pertama dimeterai FPLC di China.
Dexter, yang juga Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Ahli Jawatankuasa Eksekutif FPLC dan Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah, menandatangani LOI itu bersama Timbalan Pengurus Besar GIIHG, Zhang Jinquan, dan Pengerusi Dongling Holdings Group, Lai Ningchang.

Beliau hadir atas jemputan khusus Pejabat Hal Ehwal Cina Perantauan Kerajaan Perbandaran Guangzhou untuk mewakili FPLC dalam sesi khas mengenai peluang pelaburan Guangzhou untuk usahawan dan syarikat Cina perantauan.
Jemputan itu mencerminkan pengiktirafan pihak berkuasa Guangzhou terhadap kekuatan kolektif, kedudukan antarabangsa dan potensi perniagaan syarikat tersenarai awam Malaysia.
Menurut Dexter, kekuatan Guangzhou dalam pembuatan berteknologi tinggi, pelaburan industri, inovasi teknologi dan pembangunan rantaian bekalan melengkapi kelebihan ekonomi Malaysia. Ini mewujudkan potensi besar untuk kerjasama perniagaan lebih erat.
Beliau berkata kedudukan strategik Malaysia memberikan akses ke pasaran ASEAN lebih luas, manakala syarikat China mempunyai kepakaran luas dalam teknologi industri, pembuatan dan pelaburan modal.
Katanya, dengan memanfaatkan kelebihan yang saling melengkapi itu, syarikat kedua-dua negara berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan rentas sempadan dan kerjasama komersial menerusi perkongsian sumber dan kolaborasi lebih rapat.
GIIHG mempunyai sejarah pembuatan menjangkau lebih satu abad dan merupakan syarikat pelaburan industri multinasional yang terlibat dalam pembuatan berteknologi tinggi, perkhidmatan industri moden dan pelaburan industri.
Dengan sejumlah anak syarikat dan syarikat tersenarai di bawahnya, GIIHG mempunyai kehadiran perniagaan di lebih 160 negara dan wilayah, disokong keupayaan dalam integrasi industri, pelaburan dan pembangunan pasaran antarabangsa.
Dongling Holdings Group yang ditubuhkan pada 1994 merupakan antara syarikat terawal diiktiraf Guangzhou sebagai syarikat ibu pejabat korporat. Aktiviti perniagaan utamanya merangkumi sektor bijirin dan minyak, jentera dan pelaburan, dengan lebih 50 syarikat subsidiari, syarikat berkaitan dan syarikat pelaburan ekuiti, serta operasi meliputi lebih 10 negara dan wilayah.
Dongling Holdings Group juga beberapa kali tersenarai dalam 500 Syarikat Swasta Terbaik China dan 500 Syarikat Pembuatan Terbaik China.
Kerjasama bersama FPLC dijangka memperkukuh hubungan korporat, menggalakkan kolaborasi industri. Ia juga membuka lebih banyak saluran untuk syarikat berpangkalan di Guangzhou bertapak atau memperluas operasi di Malaysia dan rantau ASEAN.
Sebagai organisasi yang mewakili syarikat tersenarai awam dari pelbagai sektor, FPLC menyediakan platform yang membolehkan syarikat ahli menggabungkan sumber modal, keupayaan industri, rangkaian korporat dan akses ke pasaran antarabangsa.
Turut hadir ialah Naib Presiden MCCC Sabah, Yong Siew Lee, dan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Cina Perantauan Kerajaan Perbandaran Guangzhou, Jiang Fan, bersama beberapa wakil lain.
