Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
PENAMPANG: 26 Oktober 2026 — Borneo Rising berpotensi membantu penyanyi dari Sabah dan Sarawak mengembangkan kerjaya ke pasaran lebih luas termasuk Semenanjung Malaysia menerusi program yang berlangsung selama lapan minggu di ITTC Penampang.

Sepanjang program itu, potensi penyanyi Borneo turut mendapat perhatian menerusi persembahan peserta. Pengalaman tersebut memberikan perspektif baharu terhadap kemampuan bakat tempatan untuk bersaing dalam industri muzik dan kepentingan membina identiti muzik sendiri.
Marsha Millan berkata, program itu memberi peluang kepada lebih ramai penyanyi dari Borneo untuk diketengahkan. Pengalaman selama 21 tahun dalam industri hiburan turut dimanfaatkan untuk berkongsi ilmu dengan bakat baharu.
“Saya rasa banyak talent yang harus diketengahkan,” katanya.

Menurut Marsha, penyanyi tidak seharusnya hanya menumpukan perhatian kepada vokal. Mereka juga perlu meneroka kemahiran lain seperti lakonan dan seni persembahan untuk meningkatkan kemampuan sebagai penghibur.
Sementara itu, Noh Salleh berkata, penglibatannya dalam program itu memberikan perspektif baharu terhadap potensi penyanyi dari Sabah dan Sarawak.
“Saya rasa macam terbuka mata,” katanya, sambil mengakui peserta yang dinilai mempunyai bakat tersendiri.
Noh berpandangan, penyanyi dari Borneo mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik. Namun, mereka perlu terus menghasilkan karya berkualiti, membina identiti muzik sendiri dan memanfaatkan media sosial untuk memperkenalkan karya kepada khalayak lebih luas.
Potensi bakat turut terserlah dalam kalangan penonton yang dipanggil naik ke pentas ketika waktu rehat. Perkara itu menunjukkan bakat muzik juga boleh ditemukan di luar kalangan peserta pertandingan.
Borneo Rising sekali gus menjadi platform untuk mengetengahkan bakat tempatan, meningkatkan keyakinan mereka dan menggalakkan penyanyi terus mengembangkan kerjaya dalam industri muzik.

