‘Rakyat sakit hati, peruntukan dipotong”’- Munirah dedah RM1.9 Bilion dana hilang

75d650f7 3600 4463 ab4e 67a9645a61fb

KUALA LUMPUR: 14 Oktober 2026 – Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, mendakwa RM1.83 bilion peruntukan khusus Sabah dikurangkan dalam tahun semasa, manakala lebih RM1.9 bilion dana yang diumumkan gagal dibelanjakan sepanjang dua tahun lalu.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Munirah, analisis silang antara Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2023-2027 dan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan yang disahkan Ketua Audit Negara menunjukkan tiga projek infrastruktur asas luar bandar terjejas teruk akibat pemotongan bajet.

Untuk projek Pembinaan Jalan Sabah 2023, peruntukan asal RM737 juta dikurangkan kepada RM27.2 juta pada hujung tahun, dengan perbelanjaan sebenar hanya RM24.9 juta.

Bekalan Elektrik Luar Bandar Sabah 2023 pula, peruntukan asal RM284.5 juta dipotong kepada RM43.3 juta, dengan perbelanjaan sebenar RM43.1 juta.

Bagi Bekalan Air Luar Bandar Sabah 2024, peruntukan asal RM135.9 juta dikurangkan kepada RM69.9 juta, dengan belanja sebenar RM68.4 juta.

“Dari sudut teknikal ia tidak salah kerana kementerian memotong bajet untuk mencapai KPI perbelanjaan 100 peratus. Tetapi dari sudut hak dan keadilan kepada Sabah, yang hari-hari kami bercakap pasal air, elektrik, dan jalan raya, ini sangat mengecewakan,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh projek fizikal yang tertangguh lama di kawasannya, termasuk Klinik Kesihatan Mantanani yang baru dalam proses pembinaan pagar dan projek Politeknik Kota Belud yang masih belum menunjukkan sebarang kemajuan fizikal biarpun sudah dua kali melalui majlis pecah tanah.

Mengulas mengenai peruntukan RM18.7 bilion untuk Sabah dalam Belanjawan 2027, Munirah mengingatkan rakyat agar tidak keliru kerana angka itu merupakan gabungan antara Belanja Pembangunan dan Belanja Mengurus untuk pembayaran gaji kakitangan awam Persekutuan di negeri itu. Ia tidak mempunyai kaitan dengan tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.

Beliau turut menzahirkan kekesalan berhubung status sosioekonomi negeri yang masih belum keluar dari belenggu kemiskinan tegar.

“Walaupun perkara ini sudah saya bangkitkan empat tahun lalu, kita bercakap tentang mahu menghapuskan kemiskinan Namun, Sabah ini setiap tahun terus menjadi juara miskin,” tegasnya.

Susulan itu, Munirah mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan. Beliau mahu kerajaan menerbitkan pecahan peruntukan RM18.7 bilion mengikut kementerian dan mewujudkan butiran khusus sekolah dan hospital untuk Sabah bermula Belanjawan 2028.

Selain itu, beliau menuntut penyata perbelanjaan sebenar Persekutuan di Sabah dibentangkan secara tahunan di Parlimen serta Dewan Undangan Negeri dan mengusulkan pelaksanaan sekatan kekal untuk memastikan peruntukan Sabah yang tidak habis dibelanjakan agar dilarang dipindah keluarkan, sebaliknya disalurkan ke kementerian lain di Sabah yang memerlukan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal