Bayar hak 40 peratus hasil Sabah terus melalui LHDN dan JKDM – Ewon

WhatsApp Image 2026 10 12 at 20.05.50

KUALA LUMPUR: 12 Oktpber 2026 – Kerajaan Persekutuan digesa melaksanakan pembayaran hak 40 peratus tuntutan perkongsian hasil Sabah secara terus melalui pungutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri sebagai langkah penyelesaian awal.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, berkata pendekatan itu disifatkan sebagai “low hanging fruit” atau langkah mudah dilaksanakan, sementara rundingan tuntutan perkongsian hasil lain masih berjalan antara kedua-dua pihak.

Menurut beliau, data rasmi menunjukkan kutipan hasil LHDN dan JKDM di Sabah pada 2025 mencecah RM7.547 bilion.

“Jika dihitung 40 peratus daripada jumlah kutipan ini, pembayaran hak untuk Sabah ialah RM3.019 bilion.

“Justeru, saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan menggandakan amaun interim tahun ini dari RM1.5 bilion menjadi RM3.019 bilion untuk memenuhi pembayaran hak berkenaan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Ewon menegaskan pendirian Kerajaan Negeri bahawa kenaikan bayaran khas dari RM600 juta menjadi RM1.5 bilion di bawah Belanjawan 2027 bukan mutlak, sebaliknya hanya bersifat interim.

Mengenai royalti petroleum, beliau menggesa Jawatankuasa Tertinggi Negara mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) segera bersidang untuk memuktamadkan isu tertunggak termasuk bayaran tunai petroleum.

Beliau mendedahkan bayaran tunai 5% sedia ada tidak pernah dibincangkan di Kabinet Sabah sewaktu Akta Kemajuan Petroleum 1974 ditandatangani.

Sebagai permulaan semakan semula, beliau mencadangkan kadar 5% bayaran tunai Petronas yang diserahkan ke Kerajaan Persekutuan dialihkan untuk disalurkan terus ke Sabah.

“Saya berpandangan ini lebih mudah dilaksanakan kerana hanya memerlukan political will dan keikhlasan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah sebagai negeri pengeluar,” jelasnya sambil menambah Putrajaya masih memperoleh dividen khas dari Petronas.

Ewon juga menuntut perkongsian hasil duti setem di bawah Ordinan Tanah Sabah dibahagikan secara adil pada kadar 50:50 antara Persekutuan dan negeri.

Menyentuh pembatalan tender Jalan Luar Bandar (JLB), beliau menyatakan kerisauan mendalam kerana 40 daripada 65 projek di Sabah yang dianggarkan bernilai RM5.144 bilion terlibat.

Tegasnya, sebarang kelewatan infrastruktur asas seperti jalan raya, air dan elektrik akan melengahkan kesejahteraan rakyat dan momentum ekonomi negeri.

“Saya ingin mendapatkan status sebenar perkara ini. Apakah Sabah telah kehilangan satu tahun pelaksanaan pembangunan senarai projek baharu?” soal beliau.

Untuk mengelakkan isu kelewatan projek berulang ekoran teguran Laporan Ketua Audit Negara, beliau mencadangkan peruntukan pembangunan Sabah disalurkan pada suku pertama tahun semasa.

Beliau turut mengusulkan penubuhan Jawatankuasa Khas Pemantauan Pelaksanaan Belanjawan yang dianggotai ahli parlimen bukan pentadbiran dari negeri berkenaan.

Menyentuh peruntukan RM1.077 bilion untuk persediaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Ewon mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewujudkan mekanisme undi tanpa pulang ke kampung halaman.

Langkah itu untuk membolehkan rakyat Sabah yang bekerja atau belajar di Semenanjung dan Sarawak membuang undi di pusat pengundian khas Lembah Klang, Pulau Pinang atau Johor, begitu juga sebaliknya untuk pengundi wilayah lain.

Untuk menyelesaikan isu kekurangan doktor di Borneo, beliau menggesa dasar khas diwujudkan supaya Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikhususkan sepenuhnya untuk anak tempatan Sabah dengan ikatan tajaan JPA untuk berkhidmat di negeri sendiri selepas tamat pengajian.

Pada akhir perbahasan bertemakan “Agenda Sabah First”, Ewon turut menuntut pemansuhan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Persekutuan di Sabah untuk menghormati Enakmen Pentadbiran Luar Bandar sedia ada milik negeri.

  • TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal