KOTA KINABALU: 12 Oktober 2026 – Bakal guru perlu bijak memahami emosi, sosial dan kesejahteraan murid sebelum menjejakkan kaki ke alam persekolahan sebenar.
Menyedari kepentingan itu, seramai 112 pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi pendedahan profesional menerusi Program Ceramah Akademik: Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah pada 10 Oktober lalu.
Program yang berlangsung di Auditorium Fakulti Psikologi dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS itu bertujuan memperkasa kerjasama antara guru dan kaunselor sekolah dalam menyokong perkembangan pelajar.
Pensyarah Kanan FPPS UMS, Dr. Jusiah Idang, berkata perkongsian praktikal itu amat penting untuk memberi gambaran sebenar tugas guru dalam membimbing potensi murid.
“Marilah kita sama-sama menggembleng tenaga dalam ‘Memahami Jiwa, Membimbing Potensi, Membina Masa Depan’ anak-anak yang bakal kita didik,” katanya.
Program tersebut menampilkan dua sesi ceramah interaktif oleh pakar industri.
Sesi pertama menyaksikan Pensyarah Akademik IPG Kampus Gaya, Puan Yusrizan Yusop, memperkenalkan inovasi “Panadol Motivasi Belajar” berasaskan prosedur WDEP (Wants, Doing, Evaluation, Planning) untuk membantu meningkatkan motivasi pembelajaran murid.

Sementara itu, sesi kedua disampaikan Guru Bimbingan dan Kaunseling, Puan Norsia Mohamad Timhal, yang membincangkan tajuk ‘Di Sebalik Tingkah Laku Murid’.

Beliau mengingatkan bakal guru supaya sentiasa bersifat empati dan mengelakkan tabiat melabel murid tanpa memahami latar belakang mereka terlebih dahulu.
“Kita mungkin tidak mampu mengubah seluruh kehidupan seseorang murid. Namun, kita boleh memastikan bahawa sekolah tidak menjadi satu lagi tempat yang melukakannya,” jelas Puan Norsia.
Menerusi program ini, semua pelajar DPLI UMS diharapkan lebih bersedia menghadapi kepelbagaian kerenah dan keperluan murid semasa berkhidmat sebagai pendidik kelak.

